+6 07 55 32136 / 32626 || +6 03 2615 4440 cict@utm.my
Menu

Internet Policy

POLISI PENGGUNAAN INTERNET
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Download : Polisi Penggunaan Internet (pdf)

 

PENGENALAN

Internet merupakan rangkaian komuniti global yang membenarkan sesiapa sahaja untuk berkongsi maklumat dan berinteraksi antara satu sama lain. Perkhidmatan Internet yang disediakan di Universiti digunakan oleh staf dan pelajar dalam aktiviti harian dan ia merupakan salah satu platform untuk berkomunikasi dengan pihak luar. Komunikasi secara elektronik dilihat sebagai salah satu saluran penting dalam membantu mewujudkan perkongsian maklumat. Dengan adanya polisi penggunaan Internet ini, pengurusan dan kawalselia perkhidmatan Internet universiti lebih sistematik dan teratur serta risiko gangguan operasi perkhidmatan ICT dapat dikurangkan.

Polisi penggunaan Internet ini hendaklah dibaca bersama-sama perkara berikut:

a) Akta Perlindungan Data Peribadi 2010
b) Kod Etika Profesional Universiti Teknologi Malaysia
c) Garis Panduan Mengenai Tatacara Penggunaan Internet dan Mel Elektronik di Agensi-Agensi Kerajaan
d) Garis Panduan Media Sosial UTM
e) Amalan Terbaik Penggunaan Media Jaringan Sosial Sektor Awam 2011

TUJUAN POLISI

Tujuan polisi ini diadakan untuk:

1. Memberi kefahaman kepada pengguna terhadap peraturan yang perlu dipatuhi semasa menggunakan kemudahan Internet.
2. Memastikan penggunaan Internet yang teratur dan terkawal oleh pengguna.
3. Mengawalselia perkhidmatan Internet agar dapat menyokong aktiviti utama universiti.
4. Membolehkan kawalan dan tindakan yang sewajarnya jika terdapat ketidakpatuhan terhadap penggunaan Internet universiti.

SKOP POLISI

Polisi ini merangkumi penggunaan perkhidmatan Internet yang disediakan oleh pihak Universiti.

 

PENYATAAN POLISI PENGGUNAAN INTERNET UNIVERSITI

1. Perkhidmatan Internet yang disediakan oleh universiti adalah satu kemudahan kepada pengguna. Pihak Universiti berhak menarik balik kemudahan ini apabila berlaku perlanggaran peraturan dan polisi yang ditetapkan.

2. Pihak universiti berhak untuk memantau dan mengawal penggunaan perkhidmatan Internet dan/atau sebarang jenis trafik yang dihantar menerusi rangkaian Internet.

3. Pihak universiti berhak pada bila-bila masa menggantung atau menghadkan capaian kepada kemudahan Internet universiti tanpa sebarang notis sekiranya berlaku penggunaan yang melampau atau luarbiasa secara berterusan.

4. Pihak Universiti berhak pada bila-bila masa menghadkan atau menutup penggunaan sebarang aplikasi atas talian yang menggunakan sumber Internet yang tinggi sekiranya penggunaan aplikasi berkenaan mengganggu kebolehcapaian dan keboleharapan prasarana ICT Universiti.

5. Pihak Universiti berhak untuk mendapatkan nasihat tindakan yang wajar bagi memastikan perlanggaran polisi penggunaan Internet tidak berulang.

6. Pengguna dilarang menggunakan kemudahan Internet universiti untuk sebarang aktiviti yang melanggar hak cipta, harta intelek dan hak privasi pengguna lain.

7. Pengguna dilarang menggunakan kemudahan Internet universiti untuk sebarang aktiviti penggodaman, pengimbasan rangkaian, menghidu paket data (sniffing), memancing data (phising), perlombongan mata wang kripto dan penyulitan data secara tidak sah.

8. Pengguna dilarang menggunakan kemudahan Internet universiti untuk tujuan penyebaran, penyimpanan, muat turun, muat naik bahan-bahan berunsur pornografi, lucah, perjudian, fitnah, ugutan, buli atau perkauman.

9. Pengguna Internet hendaklah pada bila-bila masa memastikan aktiviti yang dilaksana ketika menggunakan kemudahan Internet tidak mengganggu kebolehcapaian dan keboleharapan prasarana ICT (seperti aktiviti memuat naik / turun data bersaiz besar yang memonopoli bandwidth dalam bentuk Point to Point dan seumpamanya). Pihak Universiti berhak menetapkan kuota penggunaan Internet yang bersesuaian dari masa ke semasa.

10. Pengguna yang menggunakan kemudahan Internet universiti untuk melaksanakan sebarang transaksi peribadi melalui capaian kepada sistem atau aplikasi pihak luar hendaklah bertanggungjawab ke atas setiap transaksi yang dilakukan. Pihak universiti tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian, kehilangan dan kerosakan yang berlaku akibat daripada transaksi berkenaan.

11. Pengguna hendaklah memastikan Kod Etika Staf Universiti Teknologi Malaysia dan Amalan Terbaik Penggunaan Media Jaringan Sosial Sektor Awam 2011 dipatuhi ketika membuat capaian kepada kemudahan Media Jaringan Sosial.

12. Pengguna bertanggungjawab memasang perisian dan aplikasi yang tulen dan sentiasa dikemaskini pada peranti yang digunakan. Pihak Universiti tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi perundangan sekiranya pengguna memasang sistem pengoperasian dan aplikasi cetak rompak.

13. Setiap pengguna hendaklah memaklumkan kepada Universiti sekiranya mengetahui atau mengesyaki berlakunya insiden yang boleh menggugat keselamatan kemudahan Internet universiti.

[Dikeluarkan oleh : Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (CICT) 2018]

Related Resources

Link

  • List of projects
  • Consultation

Policies