+6 07 55 32136 / 32626 || +6 03 2615 4440 cict@utm.my
Select Page

Perlembagaan BKCICT

Perlembagaan

AM
Badan ini dikenali dengan nama “BADAN KEBAJIKAN PUSAT TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI,UTM” (BKCICT)
ALAMAT
Badan Kebajikan Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi,
Universiti Teknologi Malaysia,
81310 Skudai, Johor Bahru.
MATLAMAT
Matlamat Badan Kebajikan Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi ialah membina satu masyarakat penyayang dan bermotivasi dalam lingkungan masyarakat Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi
PERLEMBAGAAN
Perlembagaan ini tidak boleh dipinda kecuali diputuskan oleh Mesyuarat Agong.
PEMBUBARAN
Badan Kebajikan ini tidak boleh dibubarkan kecuali Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi dibubarkan.
OBJEKTIF
  1. Mengadakan kegiatan-kegiatan untuk menanam dan meningkatkan kesedaran beragama.
  2. Mengeratkan tali silaturahim di kalangan staf Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
  3. Mengadakan kegiatan-kegiatan untuk menanam dan meningkatkan sikap kepunyaan terhadap Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi khasnya dan Universiti amnya.
  4. Berusaha mengadakan berbagai rancangan dan projek serta menyediakan kemudahan untuk memajukan kebajikan ahli.
  5. Menghulurkan sumbangan-sumbangan kepada ahli yang baru mendirikan rumahtangga, mendapat cahayamata, kemalangan dan meninggal dunia.

KEAHLIAN

Penaung
Penaung BKCICT ialah Pengarah Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Keahlian
Setiap staf Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi secara automatik menjadi ahli BKCICT

Hak dan Kewajipan
Semua ahli mempunyai hak yang sama dalam Badan Kebajikan. Ahli berhak bercakap, mencadang, menyokong, mengundi dan dicalonkan sebagai Ahli Jawatankuasa BKCICT. Menghormati dan patuh kepada Perlembagaan BKCICT dan Dasar BKCICT dan juga keputusan Mesyuarat Agong.

Berhenti daripada Keahlian
Keahlian akan tamat dengan sendirinya apabila ahli tidak lagi bertugas dengan Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

AHLI JAWATANKUASA

AJK BKCICT adalah terdiri daripada:

  • Pengerusi
  • Timbalan Pengerusi
  • Setiausaha
  • Bendahari
  • 10 orang Jawatankuasa

Semua jawatankuasa hendaklah dilantik oleh Mesyuarat Agong pada tiap-tiap dua tahun di dalam Mesyuarat Agong Dwi-Tahunan atau di dalam Mesyuarat Agong Khas. Mesyuarat AJK yang pertama akan melantik Setiausaha, Bendahari dan Biro-biro daripada 10 orang ahli AJK yang dilantik.

AJK mempunyai kuasa dan akan menjalankan tugas-tugas Badan Kebajikan dalam jangka masa dua tahun. Jika terdapat seorang AJK yang meletak jawatan atau berhenti, AJK lain berhak untuk melantik penggantinya di kalangan ahli mengikut persetujuan mesyuarat AJK sehingga Mesyuarat Agong.

AJK mempunyai kuasa:

  • Untuk merancang dan melaksanakan kegiatan-kegiatan Badan serta membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Badan dengan tidak terkeluar dari dasar umum yang ditentukan oleh Mesyuarat Agong.
  • Membuat bayaran-bayaran mengikut perlembagaan ini atau perkara-perkara yang diputuskan oleh AJK dalam menjalankan sesuatu aktiviti atau mengeluarkan sumbangan-sumbangan.
  • Menubuhkan jawatankuasa kecil dalam menjalankan sesuatu aktiviti jika difikirkan perlu. Jawatankuasa kecil mestilah dari golongan ahli sendiri. Surat lantikan menjadi ahli jawatankuasa kecil akan dikeluarkan oleh Badan bagi tujuan simpanan di dalam fail peribadi.

Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang dibuat di dalam Mesyuarat Agong, keputusan AJK adalah muktamad jika atau sehingga tidak dirombak oleh keputusan Mesyuarat Agong.

Kewajipan-kewajipan AJK:

a. Pengerusi
Pengerusi hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat, Mesyuarat Agong dan mesyuarat jawatankuasa.Ia hendaklah menandatangani semua wang keluar daripada bank. Pengerusi dan setiausaha adalah jurucakap rasmi bagi pihak Badan.

b. Timbalan Pengerusi
Bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas mempengerusikan jika Pengerusi tiada dan jika Timbalan Pengerusi tiada, Setiausaha boleh menggantikannya.

c.Setiausaha
Setiausaha bertanggungjawab menguruskan surat-surat dan minit-minit mesyuarat. Ia hendaklah hadir dalam setiap mesyuarat untuk membuatcatatan mesyuarat. Ia hendaklah di dalam 14 hari dari tarikh Mesyuarat Agong mengedarkan penyata tahunan Badan kepada semua ahli. Jika setiausaha tiada, salah seorang AJK boleh menggantikannya.

d. Bendahari
Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semuaperkara kewangan dan bertanggungjawab di atas kesahihannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek dan semua wang keluar daripada bank.

e. AJK Biasa
AJK biasa hendaklah menjalankan tugas-tugas yang telah ditetapkan.

MESYUARAT

Mesyuarat Jawatankuasa
Mesyuarat Jawatankuasa hendaklah diadakan sekurang-kurangnya 1 bulan sekali. Mesyuarat hanya sah jika 5 orang AJK yang hadir.

Mesyuarat Agong
Mesyuarat Agong hendaklah dipanggil oleh setiausaha dan surat jemputan serta laporan tahunan hendaklah diedarkan 3 hari sebelum tarikh. Ahli yang hadir boleh mengeluarkan fikiran terhadap perkara yang bersangkutan dengan Badan untuk dibahaskan dan diputuskan. Mesyuarat Agong hanya sah jika dihadiri satu per dua ahli. Jika tiak mencukupi, mesyuarat akan ditangguhkan ke suatu masa yang dijadualkan kemudian tidak lewat dari satu bulan dari tarikh penangguhan. Jika panggilan kedua masih tidak mencukupi maka ahli yang ada berhak untuk menjalankan mesyuarat. Kehadiran adalah wajib dan sekiranga seseorang tidak dapat hadir, mestilah mengesahkan ketidakhadirannya (menyatakan setuju/tidak setuju untuk dibuat lantikan).

Mesyuarat Agong tahunan hendaklah diadakan satu tahun sekali iaitu tamat tahun pertama AJK dilantik. Ia hendaklah diadakan secepat mungkinsetelah akhir tahun kewangantetapi tidak lewat daripada 31 Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh AJK. Kerja-kerja Mesyuarat Agong ialah:

  • Membaca dan mengesahkan minit Mesyuarat Agong yang lalu.
  • Perkara-perkara yang berbangkit daripadanya.
  • Menerima dan mengesahkan laporan tahunan.
  • Menerima dan mengesahkan laporan Bendahari dan penyata kira-kira yang telah disemak oleh pemeriksa.
  • Menguruskan lain-lain perkara yang telah dibentang di dalam mesyuarat itu.

Mesyuarat Agong Dwi-Tahunan hendaklah diadakan 2 tahun sekali iaitu tamat tahun kedua AJK memegang jawatan. Ia hendaklah diadakan secepat mungkin tetapi tidak lewat dari 31 Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh AJK.

Kerja-kerja Mesyuarat Agong Dwi-Tahunan ialah:

  • Membaca dan mengesahkan minit Mesyuarat Agong yang lalu.
  • Perkara-perkara yang berbangkit daripadanya.
  • Menerima dan mengesahkan laporan tahunan.
  • Menerima dan mengesahkan laporan Bendahari dan penyata kira-kira yang telah disemak oleh pemeriksa.
  • Melantik jawatankuasa baru.
  • Melantik dua orang pemeriksa kira-kira.
  • Menguruskan lain-lain perkara yang telah dibentang di dalam mesyuarat itu.

Mesyuarat Agong Khas
Mesyuarat Agong Khas diadakan jika difikirkan perlu oleh AJK atau terdapat permintaan beramai-ramai secara bertulis oleh sekurang-kurangnya 1/5 ahli dengan menerangkan tujuan-tujuan dan sebab-sebab untuk mengadakan mesyuarat tersebut.

YURAN BADAN

Setiap kakitangan Pusat Komputer mesti membayar yuran keahlian berdasarkan kepada Buku Perlembagaan dan berdasarkan kepada kumpulan jawatan seperti berikut:

Kumpulan A                                         RM 5.00
Kumpulan B                                         RM 4.00
Kumpulan C dan D                             RM 3.00
Staf Sementara
Staf sementara hendaklah membayar yuran mengikut jawatan mereka.

Staf Sambilan

Staf sambilan hanya perlu membayar 50% daripada jumlah yuran mereka. Sebarang perubahan kadar yuran keahlian hendaklah diputuskan oleh mesyuarat agong. Yuran bulanan hendaklah dibayar kepada Bendahari secara tunai atau cek dengan nama Pengerusi atau Bendahari. Resit bayaran akan dikeluarkan sebagai bukti pembayaran. Yuran-yuran ini tidak boleh dituntut kembali.

Staf Cuti Belajar

Staf yang sedang cuti belajar adalah dikecualikan daripada membayar yuran bulanan sehingga tamat cuti belajarnya.

Staf Yang Dipinjamkan

Kakitangan yang dipinjamkan ke luar Pusat Komputer adalah masih dianggap menjadi ahli Badan dan diwajibkan membayar yuran tahunan.

Derma Atau Sumbangan Dari Ahli
Ahli dialu-alukan menghulurkan derma atau sumbangan secara peribadi bagi menjalankan sesuatu aktiviti Badan Kebajikan.

AKTIVITI-AKTIVITI
Badan boleh menjalankan sebarang aktiviti yang tidak bercanggahan dengan agama dan peraturan pejabat tetapi perlu berkisar kepada kebajikan ahli. Aktiviti-aktiviti boleh dicadangkan oleh ahli atau AJK. AJK akan menentukan sesuatu aktiviti dan bertanggungjawab dalam melaksanakannya.

DERMA ATAU SUMBANGAN KEPADA AHLI
Badan akan mengeluarkan sumbangan/derma/cenderamata dan diberikan kepada ahli berdasarkan kepada kriteria berikut:

Mendapat cahayamata                                                    RM50.00
Melangsungkan perkahwinan                                          RM50.00

Kemalangan ahli sahaja                                                   RM100.00

Kematian ahli                                                                      RM500.00

Kematian isteri, anak, ibubapa                                         RM150.00

Kematian (ibu bapa mertua)                                             RM150.00

Bencana Alam                                                                    RM100.00

Cenderamata bagi ahli berhenti

Tempoh perkhidmatan

(1 hingga 5 tahun)                                                               RM 50.00

(6 hingga 10 tahun)                                                             RM100.00

(lebih 10 tahun)                                                                    RM150.00

* Nota

  1. Definisi Cahayamata bermaksud anak kepada staf yang telah selamat dilahirkan.
  2. Definisi Perkahwinan bermaksud perkahwinan kali pertama setelah menjadi ahli BKCICT

                                            * Pindaan Mesyuarat Agong Bil.19 Tahun 2012

Keputusan peperiksaan anak yang cemerlang :

Peperiksaan               Keputusan Minima           Jumlah

     UPSR                                   5A                      RM 40.00

     PMR                                     6A                      RM 50.00

     SPM / SPVM                       6A                      RM 50.00

      STPM                                   2P                      RM 50.00

JAMUAN PERPISAHAN
Jamuan perpisahan akan diadakan bagi setiap kakitangan yang akan bertukar, berhenti, bersara atau melanjutkan pelajaran. Jamuan ini akan diadakan secara kecil-kecilan iaitu minum petang. Jamuan perpisahan untuk pelajar-pelajar yang sedang membuat latihan praktikal hendaklah menggunakan Vot Pembangunan.