+6 07 55 32136 / 32626 || +6 03 2615 4440 cict@utm.my
Select Page

cictkl-smk-seri-keramatUniversiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) melalui Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) telah mengadakan program libatsama komuniti bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Keramat. Program ini mengambil inisiatif ‘Community Engagement’(CE) selaras dengan teras strategik universiti dalam Plan Global 50 iaitu ‘Sumbangan terbaik kepada Komuniti’ dan ‘Memasyarakatkan Universiti’ dengan mengadakan program-program berimpak tinggi menggunakan kepakaran UTMKL. Pengarah Kampus UTMKL telah berbesar hati untuk merasmikan program ini di dewan utama sekolah tersebut pada 25 Julai 2016.

Lima buah Pusat Tanggungjawab (PTJ) telah mengambil bahagian bagi menjayakan program ini yang dijangkakan berlangsung selama 5 bulan. Ianya terdiri daripada Unit Pengurusan Makmal Universiti (UPMU) yang diketuai oleh PM Sallehuddin bin Muhamad, Pusat Kesihatan Universiti (PKU) diketuai oleh Dr. Azizah Hj. Abdul Rahman, Pusat Kaunseling dan Kerjaya (PKK) di ketuai oleh En. Zulfikar Ahmad, Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) di ketuai oleh Pn. Nik Masriza bt Zakaria dan Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (CICT) yang diketuai oleh En. Nik Kamal Izuddin bin Nik Ibrahim.

SMK Seri Keramat sebelum ini menggunakan fasiliti yang dibekalkan dibawah projek 1BestariNet. 1BestariNet adalah projek hasil inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan dilaksanakan dengan kerjasama YTL Communications pada tahun 2014. Kelajuan internet di sekolah tersebut adalah sebanyak 4Mbps dan dengan kelajuan tersebut pada masa kini, ianya agak terbatas dan perlahan bagi menampung jumlah pengguna yang banyak bagi satu sesi satu kelas komputer. SMK Seri Keramat mempunyai dua makmal komputer dimana setiap satu makmal dapat menampung 20 pelajar bagi satu masa. Komputer sedia di makmal tersebut sudah melebihi 7 tahun dan sudah usang serta tidak boleh digunakan lagi. Anggaran pelajar yang terlibat bagi satu sesi di makmal-makmal tersebut adalah diantara 20-40 pelajar. Penggunaan komputer yang lama dan internet yang perlahan Ini menyukarkan guru-guru yang terlibat untuk melaksanakan sesi pengajaran mereka dengan lancar.

Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (CICT) telah memberi kerjasama dan sokongan teknikal bagi memperbaiki dan menaiktaraf fasiliti internet di sekolah tersebut. CICT juga dipertanggungjawabkan untuk membantu melakukan konfigurasi pada 20 unit PC dan 1 unit server yang disumbangkan oleh UPMU, UTMKL. Hasil perbincangan dengan pihak sekolah, mereka bersetuju untuk menukar dan menaiktaraf talian internet kepada talian Unifi 30Mbps. Kos sewaan bulanan talian tersebut ditanggung oleh pihak sekolah sepenuhnya dan CICT diminta untuk membantu melakukan pengubahsuaian dan konfigurasi rangkaian sedia ada di sekolah tersebut supaya dapat menggunakan talian Unifi sepenuhnya.

Peralatan sedia ada seperti switch dan Access Point Wifi (hasil projek sebelum 1BestariNet) tidak digunakan semenjak 2014 selepas perlaksanaan projek 1BestariNet. Peralatan-peralatan tersebut adalah dari jenama SMC dan telah berusia hampir 10 tahun. CICT telah mengaktifkan semula peralatan-peralatan lama ini dan melakukan konfigurasi untuk digunakan bersama talian Unifi yang baru dilanggan. Kronologi penglibatan CICT adalah seperti berikut :

• 25/7/2016 – Perasmian Program.
• 27/7/2016 – Semakan peralatan dan konfigurasi untuk aktifkan semula peralatan switch dan UTP port pada setiap lokasi PC makmal.
• 23/8/2016 – Konfigurasi switch dan access point (AP) Wifi untuk digunakan bersama talian Unifi yang baru dilanggan.
• 25/8/2016 – Sambungan kerja-kerja konfigurasi switch dan AP Wifi. Lokasi Hotspot Wifi adalah di sekitar makmal komputer, pejabat am dan bilik guru.
• 30/8/2016 – Pihak sekolah mengadakan pertandingan mereka laman web hari kemerdekaan di dalam makmal (menggunakan laptop guru). Pihak CICT dijemput hadir untuk melihat kelancaran pertandingan yang menggunakan talian internet sepenuhnya.
• 27/9/2016 – Majlis penyerahan 20 unit PC dan 1 unit Server oleh UPMU. Pihak CICT terlibat dalam membantu kerja-kerja pemasangan dan konfigurasi internet bagi setiap PC tersebut.

Pihak CICT merancang untuk mengadakan latihan secara percuma kepada guru-guru bagi membangunkan laman web menggunakan perisian sumber terbuka WordPress. Pihak sekolah juga meminta CICT untuk membantu mereka membangunkan sistem e-learning mereka sendiri. CICT merancang untuk menggunakan perisian sumber terbuka Moodle bagi menjayakan projek e-learning sekolah ini. Kedua-dua projek laman web dan e-learning dijangka akan dilakukan sekitar bulan Oktober hingga November ini.